Saturday, November 5, 2011

Rahsia Strategi Bagaimana Membuatkan Pelanggan Percaya Kepada Perniagaan Anda ?

Bagi usahawan yang baru memulakan perniagaan, adalah satu usaha menaiki bukit untuk membuatkan pelanggan percaya kepada anda. Anda mungkin sudah cuba pelbagai kaedah, namun pelanggan masih lagi sangsi atau skeptikal terhadap kemampuan anda.
Tanpa kepercayaan, mereka tidak akan membeli daripada anda. Jadi kepercayaan adalah sangat penting untuk dibina daripada awal dan untuk tempoh masa yang panjang.
Jika anda sudah mempunyai kepercayaan, maka segalanya menjadi mudah. Anda tidak perlu lagi berusaha keras untuk membina kepercayaan dan kemudiaannya baru membuat jualan. Anda boleh terus membuat jualan kepada mereka dan mendapatkan wang hasil jualan yang anda cari.
Saya akan terangkan mengenai bagaimana pelanggan anda mempercayai perniagaan anda. Rahsia ini boleh digunakan untuk tujuan yang baik atau buruk, saya harap anda akan gunakan untuk tujuan yang baik untuk perniagaan yang betul.
Peringkat tindakan dan tingkat kepercayaan pelanggan
Tahap 1 : Anda beritahu mereka “produk A saya bagus” 
Dalam kebanyakkan keadaan, pelanggan mungkin memberi respon yang positif tetapi mereka tidak lagi berminat menjadi pelanggan anda. Mereka tidak mengenali anda dan tidak tahu adakah janji yang anda tawarkan ini benar atau palsu. Jadi pada tahap ini, mereka mungkin hanya 10% percaya kepada produk dan perniagaan anda.
Tahap 2 : Seseorang memberitahu mereka “produk A bagus”
Dalam keadaan sebegini, pelanggan masih ragu-ragus tetapi tahap kepercayaan mereka meningkat sekali ganda. Logiknya, jika sesuatu produk itu biasa, tidak mungkin orang akan ceritakan kepada orang lain. Jika produk ini betul-betul bagus barulah kita akan hebahkan kepada orang lain. Ini sama juga jika produk anda itu teruk, orang tidak akan hebahkan jika ianya tidak berapa bagus, tetapi jika ia sangat teruk, pasti semua orang akan hebahkan mengenainya. Pada tahap kedua ini, pelanggan anda akan percaya 20% kepada perniagaan anda.
Tahap 3 : Ramai orang memberitahu anda “produk A bagus”
Ini adalah aktiviti yang sama seperti tahap 2 cuma kuantiti orang yang memberitahu mengenainya adalah bukan seorang tetapi ramai. Jadi ini akan menimbulkan satu logik di minda pelanggan anda. “Jika semua orang cakap produk ini bagus, produk ini pasti bagus”. Ini akan membuatkan pelanggan anda mempercayai produk anda dengan meletakkan tanggungjawab ini atas bahu mereka yang memberitahunya. Dia tahu mereka tidak mempunyai kepentingan. Pada tahap ini, kepercayaan pelanggan anda berada pada tahap 80% atau lebih.
Tahap 4 : Liputan akhbar secara bertulis atau melalui TV bahawa “Produk A bagus”
Ini adalah tahap tertinggi dalam membina kepercayaan pelanggan anda di mana mereka melihat dengan jelas bahawa anda sebenarnya bukan penipu dan perniagaan anda boleh dipercayai. Pada tahap ini anda sudah selesa sebenarnya. Tahap kepercayaan pelanggan kepada anda adalah lebih dari 90%.
Kisah Sebenar Membina Kepercayaan Pelanggan Melalui Kaedah Ini
Setakat ini saya rasa pembaca mungkin sudah faham namun untuk memastikan anda betul-betul faham, saya akan berikan satu contoh daripada perniagaan saya sendiri.
Salah satu perniagaan saya ialah Lot.my sebuah portal untuk membina kedai online bagi mereka yang tidak mempunyai kepakaran teknikal dan tidak mempunyai modal yang tinggi untuk mendapatkan seseorang untuk membina kedai online.
Mari kita kaji tahap demi tahap
Tahap 1 : Saya beritahu anda
Lot.my ini sangat bagus dan sangat mudah untuk anda buat kedai online. Kosnya hanya RM 39.90 sebulan dan anda boleh jual apa saja produk anda di internet dalam masa beberapa minit.
Respon anda : Saya tahu anda percaya kepada saya dengan kenyataan di atas kerana anda pembaca blog ini. Jika anda tidak mengenali saya, anda tidak mungkin akan percaya semua yang saya katakan ini. Kepercayaan anda kepada saya hanyalah 10%.
Tahap 2 : Kawan anda beritahu anda 
Kawan anda Salim datang ke rumah anda suatu hari dan menceritakan pengalamannya membuka kedai di Lot.my. Dia beritahu anda, sebelum ini dia telah menghabiskan ribuan Ringgit namun kerana tidak tahu sangat mengenai teknikal, membuka kedai online ini sangat susah baginya. Namun selepas menggunakan Lot.my ianya sangat mudah dan cepat.
Respon anda : Pertama sekali anda akan melihat pengalaman anda dengan Salim dan anda tahu Salim pernah membuat beberapa kesalahan dalam hidupnya (sudah tentu semua orang pernah buat kesalahan) dan satu lagi masalah Salim, dia selalu excited dengan benda yang baru diketahuinya. Jadi apa saja yang Salim beritahu anda, anda perlu tapis dan boleh percaya tetapi tidak keseluruhannya. Kepercayaan anda kepada Lot.my meningkat kepada 20%.
Tahap 3 : Ramai orang beritahu anda Lot.my itu bagus
Katakan Salim, Arif, Ahmad, Ah Chong, Muthusamy dan Nathan bercakap kepada anda mengenai Lot.my. Mereka semua sudah pun mempunyai kedai online masing-masing dan mereka menceritakan kepada anda mengenainya. Anda sudah tentu akan menjadi teruja untuk mencuba Lot.my. Anda hampir pasti Lot.my ini bagus dan mudah digunakan. Kepercayaan anda sudah meningkat menjadi 80%.
Tahap 4 : Perniagaan anda mendapat liputan Akhbar dan TV
Ini adalah tahap tertinggi kepercayaan pelanggan kepada anda seperti contoh di bawah
Respon Anda : Wow !!! Lot.my memang bagus.
Tindakan Anda
Buat permulaan, cuba untuk dapatkan beberapa orang rakan anda yang berperanan sebagai agent anda untuk menyebarkan mengenai perniagaan anda. Kaedah yang lebih efektif adalah anda mendapatkan blogger-blogger untuk menulis mengenai perniagaan anda di dalam blog mereka. Adalah paling baik jika mereka semua ini menulis secara serentak.
Larangan : Jangan menceritakan mengenai perniagaan anda sewenang-wenangnya. Ceritakan hanya jika ditanya kepada orang. Saya akan tulis artikel lain mengenai bagaimana membuatkan prospek anda bertanya anda mengenai perniagaan anda pada masa lain untuk anda.
Sekian, terima kasih