Thursday, February 23, 2012

Misteri Gunung Ledang


Pada tahun 1986, saya dan bersama-sama sahabat yang sama-sama belajar di Matrikulasi Universiti Sains Malaysia, merancang untuk mendaki Gunung Ledang yang terletak di Melaka pada cuti semester.

Saya berasal dari Tampin, Negeri Sembilan. Sedangkan sahabat-sahabat saya yang lain berasal dari Negeri-negeri lain seperti Pulau-Pinang, Pahang, Terengganu, Johor dan Melaka . Kami sepakat untuk berkumpul pada hari yang sama di kaki gunung sebelum memulakan pendakian.

Satu minggu sebelum bertolak ke sana, saya berkesempatan untuk melawat nenek(ibu kepada bapa) saya (kami memanggilnya atuk tudung) dan bercerita tentang cadangan saya dan kawan-kawan untuk mendaki Gunung Ledang pada minggu berikutnya.

“Atuk tudung” saya (allahyarhamah) berketurunan suku Semelenggang, satu keturunan dari Dol Said, pahlawan Naning yang terkenal di negeri Melaka. Saya memang agak rapat dan manja dengan atuk sejak kecil. Atuk rajin bercerita tentang asal-usul keturunan sebelah keluarganya yang kebanyakannya adalah menjadi Raja/ Sultan dan Penghulu. Katanya, Undang Luak Johol yang pertama adalah moyang (perempuan) saya. Banyak rahsia dan ilmu peperangan saya perolehi dari atuk saya. Apa yang saya hendak ceritakan di sini bukanlah pasal keturunan saya atau ilmu peperangan tetapi misteri apa yang ada di Gunung Ledang yang di ceritakan oleh atuk saya.

Ceritanya begini. Selepas zaman pemerintahan Jepun di Tanah Melayu, keluarga atuk saya juga tidak terkecuali mengalami kesusahan baik dari segi kewangan mahupun makanan. Pada waktu itu, adik (perempuan) kepada atuk saya telah bermimpi supaya mengunjungi Gunung Ledang untuk mengambil sedikit harta untuk di buat belanja. Adik perempuan atuk (allahyarhamah Tok Cik) saya merupakan seorang dukun atau bomoh pada waktu itu. Beliau telah pergi ke Gunung Ledang bersama-sama sahabatnya mengikut arah jalan sepertimana di tunjukkan di dalam mimpinya.

Menurut kata atuk, puteri bunian di Gunung Ledang merupakan sahabat lama kepada allahyarhamah moyang saya, iaitu Undang Luak Johol yang pertama. Mungkin kerana itu, beliau berhajat untuk membantu keluarga atuk yang dalam kesusahan.

Ketika di Gunung Ledang, Tok Cik telah di suruh untuk mengumpul dedaun kayu yang kering dan di bungkus di dalam kain sarung yang di bawa olehnya. Beliau kemudian di suruh membawa pulang bungkusan tersebut dengan syarat tidak boleh membukanya sehingga sampai di rumah. Sampai di rumah, apabila dibuka kain bungkusan tersebut, Tok Cik mendapati dedaun kering tersebut telah bertukar menjadi emas. Pelik bukan? tetapi menurut atuk, emas tersebut akan bertukar semula menjadi dedaun kering selepas masa lebih kurang tiga bulan selepas itu.

Saya tidak tahu samada untuk percaya atau tidak dengan cerita (allahyarhamah) atuk. Tok Cik pun telah lama meninggal dunia, ketika saya masih belum lahir ke dunia ini lagi. Jadi, tiada siapa yang dapat mengesahkan cerita tersebut. Tetapi apa yang lebih menarik, adalah cerita atuk berkenaan ilmu allahyarhamah moyangnya yang boleh mengubah kayu-kayan menjadi emas pada zaman dahulu.

Katanya, ilmu itu di perolehi ketika berada di Gunung Ledang. Malangnya, ilmu itu tidak di turunkan pada waris-warisnya. Rasanya lebih baik begitu, sedangkan masalah sakit “saka” yang menghantui keluarga saya pun masih menjadi masalah, apatah lagi kalau masih ada ilmu-ilmu tersebut pada waktu ini.

Di pendekkan cerita, Alhamdulillah, saya selamat mendaki dan selamat pulang dari Gunung Ledang tanpa mengalami apa-apa cerita misteri di sana pada minggu berikutnya.

Bimbang juga saya, kot-kot di culik oleh puteri Gunung Ledang pada waktu tu…….ahahaha…

No comments:

Post a Comment